Mana Ummi?
Kelihatan Ummi sedang melakukan
kerja-kerja mengemas. Ummi menyapu lantai, melipat telekung, menyusun buku-buku
dan Al-Quran di raknya. Sementara aku, cuma membantu sekadar mengikut arahan
Ummi. Apa yang Ummi suruh, itu yang aku lakukan tanpa bantah. Membersihkan
ruang solat di masjid, kerja yang mulia kan? Mana mungkin aku membantah. Aku
menyedari ada beberapa individu yang memerhati pergerakan kami, tidak
ketinggalan ada seorang lelaki tua berjubah dan berserban putih.
Aku dan Ummi terus mengemas
tanpa menghiraukan orang-orang yang melihat. Ummi seakan-akan tidak penat
dengan kerja ini. Ummi dengan kudrat tuanya dan juga keadaan kaki yang tidak
mengizinkan Ummi bergerak pantas, namun Ummi gembira melihat ruang solat itu
kemas dan teratur. Bagaimana aku tahu Ummi bahagia? Ya, segaris senyuman indah
Ummi menggambarkan kebahagiaan. Meski aku cuma menilai dari luaran.
Setelah selesai, Ummi mengambil
wudhuk, lalu mengerjakan solat sunat. Sementara aku pula, keluar sebentar ke
tangga masjid untuk menikmati udara luar. Sedang aku berdiri di tangga masjid,
ada seorang lelaki tua berjubah dan berserban sedang berbual-bual bersama
beberapa orang anak muda lelaki dan perempuan. Aku mula mencuri dengar
perbualan mereka.
"Kerja-kerja mengemas
begini sering orang kita tidak mahu lakukan. Cuba kamu lihat wanita tua
sebentar tadi. Walaupun kudratnya tidak seberapa, namun dia cuba membantu untuk
melihat kebersihan rumah Allah ini terjaga. Lakukanlah kerja seperti ini dengan
hati yang ikhlas sepertinya, kalian pasti bahagia" kata lelaki tua
tersebut kepada anak-anak muda yang ada bersamanya.
Dengan segera aku masuk ke dalam
ruang solat wanita untuk mendapatkan Ummi. Kelihatan Ummi baru sahaja
menyelesaikan salam terakhir solatnya dan bersedia untuk membaca wirid. Lalu
aku bersimpuh di hadapannya dengan mata aku berkaca-kaca. Bibir Ummi yang tidak
pernah lekang dengan senyuman menambahkan seri pada wajahnya. Aku mendekat
kepada Ummi, lalu aku kucup dahinya. Lama. Air mata aku tumpah saat aku
melepaskan ciuman.
Aku menatap wajah Ummi.
"Terima kasih Ummi" tuturku sambil menahan tangis. Ummi menyentuh
lembut jemariku, lalu Ummi katakan, "Ummi tak tahu kenapa Kakak menangis.
Tapi Ummi tahu, Ummi menjadi suatu yang berharga dalam hati Kakak, kan?"
Aku mengangguk. Air mata tak
mampu aku tahan. Lalu aku biarkan ia mengalir dengan deras. Dan Ummi masih
menggenggam jemari aku sambil senyuman menghiasi wajahnya. Ummi sangat
berharga. Ummi adalah juara dalam hati Kakak.
"Tok tok! Tok tok!"
Pintu kamar diketuk. Aku membuka mata. Layu. Aku bergegas membuka pintu. Aqilah
di luar kamarku. Ketukan itu menyedarkan aku bahawa hari sudah subuh.
Hairan. Mana Ummi? Bukankah aku
di masjid sebentar tadi? Ingatanku masih segar akan senyuman dan sentuhan Ummi.
Baru tadi aku berikan kucupan di dahi Ummi. Mana Ummi? Mataku meliar ke seluruh
ruang kamar. Mana Ummi?
********************
Terima kasih Tuhan, untuk mimpi yang indah ini. Ummi, bahagialah Ummi disana.
Rindu
Ummi.
20 Februari 2017, Nilai
Ashiq A.Halim
Comments
Post a Comment