NAMA AYAH?


Entry kali ini mungkin menjadi entri yang agak kekok untuk saya coretkan disini. Mungkin kerana saya sendiri jarang bercerita tentangnya. Mungkin juga ia menjadi anekdot yang paling membekas dalam hidup saya hingga sukar saya meluahkannya. 

*************************


"Shikin, nama ayah hang apa?"

Aku kebingungan. 'nama ayah?' 

"Nanti balik rumah, aku tanya mak aku". 

Itu sahaja jawapan yang mampu aku beri. Gadis cilik berumur 6 tahun, tak tahu nama ayah sendiri. Tak masuk akal kan? 

Pulang dari PASTI, langsung aku tanyakan kepada Ummi. Ketika itulah nama Abdul Halim bin Abas mula masuk ke kotak memori. Untuk pertama kalinya menyebut nama penuh sendiri. 

***************************


Aku mengenal ayah bukan melalui sentuhan pertamanya ketika aku lahir ke dunia. Tiada kenangan aku membesar dengan kehadiran ayah. Perkenalan aku dengan ayah hanya melalui gambar-gambar dalam album yang Ummi simpan kemas-kemas. Ayah di dalam gambar kelihatan segak berjubah dan berserban, ada kumis nipis menghiasi wajah. Aku masih ingat soalan yang aku lontarkan kepada Ummi ketika Ummi membuka sebuah sampul berisi sekeping surat dan beberapa gambar. 


"Siapa dalam gambar ni Ummi?" Seorang lelaki berjubah sedang bersila terpapar di kepingan foto tersebut. 

"Ni lah ayah Kakak. Ayah duduk jauh. Ni ayah kirim gambar untuk Kakak & Adik". 

Baru tahu, Ayah aku sedang berada jauh dari kami semua. Tak dapat menjalani hari-hari bersama. Gambar tersebut tersimpan kemas dalam memori. 'Macam ni rupanya muka ayah' hati kecil aku mengomel sendirian. 

1995 tahun kelahiran aku. Satu tahun berikutnya, 1996, Ayah membawa diri ke negeri seberang. Kata Ummi, Ayah pergi kerana urusan ilmu. Doa saja yang baik-baik untuk Ayah. Doa supaya Ayah boleh segera pulang. Begitulah jawapan yang Ummi selalu berikan setiap kali aku bertanyakan "Ummi, mana Ayah? 


Ada satu nasyid yang selalu Ummi dendangkan dek kerana aku & kembar selalu bertanya tentang ke mana perginya ayah. Mungkin sebagai penguat jiwa ketika kami merasa kekurangan kerana ketiadaan sosok Ayah dalam kehidupan kami sehari-hari. 


Anak Pejuang - Nadamurni


Anak pejuang di musim raya

Mukanya lesu hatinya pilu

Riangnya kurang, wajahnya sayu

Hanya selalu diam membisu


Sekali sekala bertanya pada ibunya

Muram wajahnya penuh kesedihan

Dimanakah ayah tak kunjung tiba?

Bukankah esok hari raya?


Diam ibunya menahan rasa

Sambil merenung anaknya sayu

Air matanya mula berlinang 

Menitis nitis di atas bangku


Hairan anaknya mengapa ibu begitu

Apakah mungkin simpati padaku?

Maafkan ku ibu.. ku cium tanganmu

Pengampunan mu penawar sedih ku


PadaMu Allah aku berserah

Memohon restu dan bantuan Mu

Bilakah masanya akan tiba?

Hari gemilang di bumi indah


Walau kesepian menyelubungi diriku

Dalam penantian kepulangan ayahku 

Anak pejuang tetap setia

Walaupun ayah nun jauh dimata.



Nasyid yang Ummi dendangkan dengan suara merdunya itu menjadi penghibur sepanjang hidup aku. Nasyid yang mungkin biasa-biasa bagi kebanyakan orang, tapi bagi aku sendiri ia mempunyai makna yang mendalam. 

Ketika orang lain pulang pergi sekolah dihantar dan dijemput ayah, dengan membonceng motosikal atau menaiki kereta, aku pula sebaliknya. Samada berjalan kaki atau membonceng basikal kakak & abang. Ketika orang lain, ayahnya hantar ke sekolah sampai ke depan pintu bilik darjah, aku pula berjalan kaki masuk ke pagar, melewati bangunan-bangunan sekolah, mencari bilik darjah sendiri. 

Pada saat rakan-rakan gembira dengan kehadiran kedua ibubapa di Hari Anugerah Cemerlang, aku pula sangat bahagia hanya dengan kehadiran Ummi sendirian. Naik ke pentas menyampaikan trofi kecemerlangan buat anaknya. Ayah tak pernah menyaksikan anak bongsu nya ini berdiri di atas pentas kerana cemerlang di sekolah. 

Aku mungkin kelihatan biasa saja dengan ketiadaan Ayah. Namun sebenarnya aku ternanti-nanti episod-episod cerita masa kecilku yang mungkin ada kewujudan Ayah di dalamnya. 





**********************


2003, Merbok


"Jom, siapa nak solat dengan Ayah?"

Sejadah sudah dibentangkan, Ayah mengimamkan solat. Terkial-kial anak kecil berumur 8 tahun kelam kabut menyarungkan telekung, merapatkan saf. Mahu diimamkan Ayah.

"Allahu Akbar".


************ To be continued 


Comments

Popular Posts