Sewaktu Azan Mendayu-dayu

 "Ummi, Kakak pergi sekolah dulu.. Doakan kakak tau, sayang Ummi" ujarku sambil senyum melihatnya yang masih bertelekung, duduk diatas katil. 

Ummi mengangguk perlahan. Tangan dan dahinya aku kucup lembut. Anak matanya menghantar aku dan Adik keluar pintu rumah. 

Telah menjadi rutin setiap hari, usai bersalaman dengan Ummi, seawal 6.30 pagi kami berdua berjalan kaki menuju ke jalan utama, menunggu bas awam Maraliner untuk ke sekolah. Udara pagi di Merbok yang sejuk sudah biasa bagi kami. Alah bisa tegal biasa.

Sedikit janggal hari ini, kerana tiada balasan seperti biasa daripada Ummi setelah bersalaman tadi. 

"Hati-hati, jaga diri. Belajar elok-elok ye" 

Begitu lah Ummi kebiasaannya. Namun tidak hari ini. Kerana sakitnya, menyebabkan Ummi tak kuat untuk mengeluarkan suara. Hanya anak matanya yang memberi reaksi. Tapi aku sentiasa yakin bahawa Ummi tak pernah berhenti mendoakan anak-anaknya. 

'Tak apa, hari ni fokus sekolah dulu' getus hati. 

Ada Ayah, Walidah dan kakak abang yang lain akan menemani, menjaga dan menguruskan Ummi di rumah. 

Abang Mat yang baru sampai di rumah malam tadi bersama Afifah cucu kesayangan Ummi, Kak Ngah yang tak jadi pulang ke universiti, membuat kan suasana rumah malam semalam menjadi lebih mendebarkan. Seakan-akan bersedia untuk sesuatu yang tidak kami ketahui.

Keadaan Ummi malam semalam sedikit berbeza. Ketika, aku dan Adik sibuk menyiapkan kerja sekolah berhampiran katil Ummi, sesekali kami memerhatikan Ummi yang hanya diam sahaja, tak banyak bicara seperti malam sebelumnya. Hanya kedengaran bunyi rintik hujan yang semakin lebat menimpa atap rumah. Ummi kelihatan tenang berbaring di atas katil, berusaha melelapkan mata di malam hari.

                                                     **************************

Aku dan Adik jalani aktiviti di sekolah seperti biasa. Sesekali ada rakan dan guru bertanyakan khabar Ummi. 

Awal Januari yang lalu, kami berdua bergilir-gilir hadir ke sekolah selama seminggu kerana menjaga Ummi di rumah. Ayah dan Walidah perlu menyelesaikan urusan di Kuala Lumpur, manakala kakak-kakak dan abang berada di universiti yang jauh dari Kedah. Belum cuti dan ada yang sedang membuat persediaan untuk peperiksaan akhir semester. Dirumah, Ummi perlukan anak perempuan untuk bantu Ummi mencuci luka, memandikan dan menguruskan makan pakai nya. Bokma, anak lelaki bongsu Ummi juga berada dirumah ketika itu turut bersama-sama menguruskan Ummi. Disebabkan itulah, aku dan Adik bergilir-gilir cuti dan hadir ke sekolah. Hari ini aku cuti, Adik ke sekolah. Esoknya Adik cuti, dan aku pula ke sekolah.

Heboh dikalangan rakan dan guru, kami bergilir cuti kerana menjaga ibu yang sakit. Ramai yang mendoakan kebaikan buat Ummi. Alhamdulillah.

Ummi tak mahu anaknya ketinggalan dalam pelajaran. Sekurang-kurangnya, jika salah seorang hadir ke sekolah, boleh kongsikan apa yang dah dipelajari. 

Begitulah Ummi sejak kami masih kecil. Pergi belajar tetap menjadi keutamaan walaupun bangun lambat atau apa pun alasannya kecuali sakit. Hatta ketika Adik perlu ke hospital untuk hadiri temujanji, aku merayu-rayu mahu ikut sekali tidak sedikit pun Ummi endahkan. 

Kata Ummi "Kakak kena pergi juga ke sekolah, tumpukan perhatian dalam kelas, catat kerja sekolah yang cikgu beri. Nanti pulang ke rumah, ajar Adik pula supaya tak ketinggalan, dan tak ada alasan untuk tak buat kerja sekolah". 

Awal Januari 2010 itu baru aku benar-benar memahami seorang Ummi yang sangat mementingkan sekolah dan pendidikan untuk anaknya. Walaupun Ummi sedang menanggung beban sakit yang berat, Ummi tetap mengutamakan kehadiran anaknya ke sekolah untuk belajar dan tidak ketinggalan. Kalau diikutkan rasa hati, biarlah kami berdua cuti sahaja untuk 5 hari persekolahan. Namun Ummi tidak membenarkan. 

                                                         ***************************

Sesi persekolahan tamat pada jam 3 petang. Bergegas aku dan Adik berjalan menuju ke Pekan Bedong untuk menunggu bas di sana kemudian menempuh 15 minit perjalanan pulang ke rumah. 

Aku dan Adik tak banyak bicara tentang keadaan Ummi. Kami sorokkan segala kerisauan, di balik senyum dan tawa bersama rakan-rakan. Masing-masing takut untuk bercakap soal kemungkinan-kemungkinan yang boleh berlaku. Hanya Allah sahaja tempat kami panjatkan segala harapan. 

                                                        ***************************

"Dik, kenapa ramai sangat orang depan rumah?" Aku dan Adik saling berpandangan. Langkah kami dipercepatkan.

Kelihatan ramai orang kampung di halaman rumah, duduk beralaskan tikar. Juga banyak selipar di depan pintu. Rumah kami kecil, jika tetamu terpaksa duduk di luar rumah, bermaksud sangat ramailah orang yang ada ketika itu. Melihat keadaan itu, hati sendiri menjadi tak keruan. 

'Ya Allah, Ummi!' 

Baru sahaja aku dan Adik tiba di muka pintu, Kak Ngah terus menyapa kami,

"Kakak Adik, naik atas, tukar baju cepat. Lepas tu turun baca Yaasin untuk Ummi, Ikut baca sekali dengan semua" 

Tanpa banyak soal, segera kami lakukan. Ruang rumah penuh dengan kehadiran Muslimat, sahabat-sahabat Ummi, orang kampung dan saudara mara.

Aku genggam Al-Quran di dada, melihat sekujur tubuh terbaring di atas katil, diam tak bermaya. Aku duduk di hujung kaki Ummi, menahan air mata dan ketakutan di hati memikirkan apa akan berlaku selepas ini. 

Ummi masih bernafas, namun tidak ada reaksi apa-apa. Tidak lagi mengeluh menahan sakit. Matanya juga tidak menatapku seperti pagi tadi ketika menghantarkan aku pergi ke sekolah. Aku bangun meluru masuk ke kamar berhampiran katil Ummi. Tak sanggup rasanya melihat Ummi terbaring kaku sebegitu. Aku menangis semahunya sambil hati tak berhenti mohon kepada Allah, supaya berikan takdir terbaik untuk Ummi jika ini adalah pengakhiran buatnya. 

"Ijah! Ijah! sini tengok mak kamu ni!" kedengaran suara Mak Ngah di luar kamar memanggil Kak Ngah. Aku segera keluar dan melihat Ummi yang tadinya hanya diam dan kaku, kini turun naik nafasnya semakin kuat. Kak Ngah meminta Bokma duduk dekat dengan Ummi untuk menuntunnya menuturkan syahadah. Kalimah mulia itu juga aku tuturkan di telinga kanan Ummi buat kali terakhir. Saat itu, nafas Ummi semakin perlahan, dan dalam satu helaan terakhir, Ummi pergi meninggalkan kami, mengakhiri perjalanan hidupnya di dunia, kembali kepada Sang Pencipta.

Dalam keramaian, suasana seakan sunyi, dunia terasa terhenti. Ketika itu, terdengar satu suara dihujung telinga aku seseorang mengucapkan kalimat,

“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un”.

Gadis kecil berumur 15 tahun ini, kini telah berpisah dengan Ummi yang paling dicintai.

Aku menjadi kaku di sebelah Ummi, terdiam melihat Bokma dan Kak Ngah mengusap perlahan wajah Ummi. Aku tatap garis-garis kedutan di wajah Ummi, aku pandang pula jemarinya. Hati bergolak dalam gelombang emosi yang tak tertahan.

‘Ya Allah rahmatilah Ummi, kurniakanlah keampunan dan kasih sayang-Mu untuknya’.

Aamin Ya Allah.

                                         **********************************

 

18 Januari 2010, sewaktu azan Asar mula dikumandangkan,

 Ummi telah pulang ke negeri abadi.


Afifah, Adik, Ummi dan Walidah



Comments

Popular Posts